Shopping Cart

JANGANLAH SOMBONG KEPADA PENCIPTA

sky

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina.” (Surah al-Mu’min: 60)

Ayat di atas membuktikan kasih sayang Allah S.W.T. yang tidak terhingga kepada hamba-Nya. Allah sentiasa menerima segala permohonan dan pengaduan hamba-Nya.

Namun begitu, masih ramai kalangan kita yang mensia-siakan nikmat yang Allah berikan ini. Mengapa kita masih sombong untuk mengadu dan meminta sesuatu dari Allah? Mengapa kita masih berharap kepada sesama makhluk?

Adakah kita malu untuk meminta sesuatu dari Allah? Semua itu sudah terjawab di hati kita. Sepatutnya kita lebih malu meminta dan berharap sesuatu daripada sesama makhluk kerana mereka tiada sebarang kuasa untuk menolong kita.

Sedangkan apa yang ada pada mereka juga adalah pemberian dari Allah S.W.T. Alangkah buruknya manusia yang sombong di hadapan Allah. Bagaimanakah seorang hamba yang lemah dan hina boleh bersikap sombong untuk memohon kepada yang menciptakannya dan memberikan rezeki kepadanya?

Sesungguhnya doa adalah senjata orang Mukmin. Justeru itu, berdoalah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan. Buatlah permohonan terus kepada Pencipta bagi menyelesaikan apa juga masalah, rohani atau jasmani, akhirat mahupun duniawi, sama ada untuk diri sendiri, saudara mara, sahabat handai atau kaum Muslimin dan muslimat.

 

Doa Otak Ibadah

Otak adalah organ terpenting dalam badan kita. Oleh itu, doa dikatakan otak kerana ia adalah satu elemen yang penting dalam ibadah. Tanpa doa dalam ibadah, samalah seperti buah yang tidak berisi, pen yang tidak berdakwat, kolah yang tidak berair dan sebagainya bagi menggambarkan bagaimana tidak sempurnanya ibadah yang kita lakukan tanpa diiringi doa.

Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. menjelaskan bahawa doa ini adalah inti atau otak ibadah. Ini membuktikan bahawa doa adalah sebahagian daripada ibadah yang perlu kita amalkan dalam kehidupan seharian.

Doa juga adalah satu pemberian kepada hamba-Nya yang lemah dan tidak berdaya. Kerana manusia yang beriman dan memahami hakikat kehidupannya akan memerlukan pertolongan Allah yang Maha Agung dan Maha Pengurnia yang menyediakan segala macam rahmat dan nikmat.

 

Hikmah Berdoa

Selain mendapat pahala daripada perbuatan doa itu sendiri, terdapat juga beberapa hikmah lain bagi yang berdoa. Antara hikmah doa ialah sebagai pelindung daripada godaan dan hasutan syaitan serta daripada kejahatan manusia.

Dengan berdoa juga akan meningkatkan lagi ketaqwaan dan kekuatan iman seseorang Mukmin. Tambahan pula, Allah S.W.T. amat mengasihi dan menyukai akan hamba-hamba-Nya yang selalu berdoa dan meminta sesuatu kepada-Nya.

Berdoa akan mententeramkan jiwa kita, menjadi penawar dan penenang kepada hati yang bersedih. Allah telah berfirman maksudnya: “Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Surah ar-Ra’du: 28)

Doa juga boleh dijadikan ubat penyembuh bagi segala jenis penyakit yang ada pada diri manusia sama ada penyakit zahiriah mahupun penyakit batiniah. Doa merupakan tali penghubung antara anak dengan kedua-dua ibu bapa yang telah meninggal dunia kerana doa daripada anak-anak yang soleh amatlah dinantikan bagi kesejahteraan mereka di alam kubur.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Apabila anak Adam meninggal dunia, maka putuslah semua amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang manfaat dan anak yang soleh yang (sentiasa) mendoakannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dengan berdoa, Allah S.W.T. akan membukakan pintu rahmat-Nya kepada manusia dan menjauhkan kita daripada kesesatan kerana kita sentiasa mempunyai hubungan dengan-Nya. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Doa itu adalah anak kunci kepada pintu rahmat.” (Riwayat ad-Dailami)

Selain itu, doa menjadi penghubung dan pengikat tali persaudaraan dan kasih sayang antara sesama Mukmin kerana itu menunjukkan wujud sifat mengambil berat dan sentiasa mengingati saudara Mukmin yang lain dan sentiasa mendoakan kebahagiaan mereka. Rasulullah bersabda: “Doa seseorang Mukmin terhadap saudaranya (Mukmin) secara diam-diam, pasti diperkenankan oleh Allah.” (Riwayat Muslim)

 

Cara Doa Dimakbulkan

Betapa banyaknya kebaikan yang kita peroleh daripada amalan berdoa, justeru itu janganlah kita lepaskan nikmat yang Allah S.W.T. berikan ini. Jadilah seorang hamba yang sentiasa bertawadhuk kepada Tuhannya.

Sentiasalah berdoa kepada Allah supaya kita dapat merasai kehebatan dan keagungan Allah SWT dan pada masa yang sama mengenal diri dan kelemahan diri kita sebagai seorang hamba.

Kadang kala bermain di fikiran kita bahawa adakah doa kita diterima oleh Allah? Sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani, dan pasti doa kita akan diterima. Tetapi, ketahuilah bahawa terdapat tiga cara bagaimana Allah memakbulkan doa kita.

Pertama, doa kita akan dimakbulkan secara terus mengikut apa yang kita minta. Kedua, Allah menghindari kita daripada sesuatu bahaya atau bencana. Ketiga, pemberian itu ditangguhkan ke suatu masa lain, misalnya di hari akhirat yang mana akan diberikan pahala sesuai dengan permintaan itu.

 

Amalan Baik yang Memperkuatkan Doa

Walaupun Allah S.W.T. pasti akan memakbulkan doa hamba-Nya, tetapi bagi seorang hamba yang melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah seperti meninggalkan ibadat fardhu ataupun melakukan perkara yang bertentangan dengan syarak, adakah doanya diterima?

Oleh yang demikian, terdapat beberapa perkara yang patut diamalkan agar doa kita mudah diperkenankan seperti memperbanyakkan amalan-amalan sunat setelah kita melaksanakan amalan-amalan yang wajib. Contoh amalan sunat ialah seperti solat sunat dhuha, tahajjud dan sebagainya.

Seterusnya, Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan kita memanjangkan sujud sewaktu bersolat andai kita mempunyai sebarang doa. Baginda tidak pernah mengkhususkan sujud mana yang perlu dipanjangkan, sama ada sujud di rakaat pertama, kedua, ketiga, atau keempat. Maka, kita boleh memanjangkan mana-mana sujud untuk meluangkan masa bagi berdoa kepada Allah S.W.T.

Adapun jikalau doa yang ingin dibacakan semasa sujud ini adalah di dalam bahasa selain bahasa Arab, maka hendaklah dibacakan di dalam hati sahaja, kerana menyebut perkataan selain bahasa Arab akan membatalkan solat. Itu merupakan kata-kata para ulama fiqh termasuk Imam as-Syafi’i rahimahullah.

Kita juga boleh membaca doa daripada ayat yang terkandung dalam surah ali-Imran yang juga merupakan bacaan yang baik di dalam tahajjud, maksudnya:

“Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun.” (Ayat 192)

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: “Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu”’, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti. (Ayat 193)

“Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.” (Ayat 194)

 

Yakini Doa Kita Dimakbulkan

Seterusnya, hendaklah kita sentiasa menghulurkan bantuan, terutama kepada mereka yang dekat dengan kita seperti saudara-mara dan sahabat handai. Kerana Allah akan memudahkan urusan kita sekiranya kita menolong orang lain dalam urusan mereka.

Kita juga hendaklah bersabar dalam menghadapi segala dugaan dan ujian dari Allah S.W.T. kerana doa orang yang sabar amat didengari oleh Allah.

Oleh demikian, doa memohon kebaikan dan kesejahteraan hendaklah ditujukan hanya kepada Allah S.W.T. dan tidak kepada selain-Nya, makbulnya sesuatu doa itu adalah bergantung sejauh mana kita mentaati perintah Allah dan rasul-Nya.

Oleh itu, setiap doa perlu diiringi dengan ketaatan yang sebenar bagi menjamin doa kita diperkenankan oleh Allah S.W.T.

Yakinilah bahawa doa kita pasti akan dimakbulkan oleh-Nya. Kerana Allah tidak memakbulkan doa orang yang tidak mengetahui, lalai dan tidak yakin dengan permohonannya sendiri. Wallahu a’lam.

 

Leave a Reply